Berpusing-pusing cari parkir - Utusan Malaysia

Berpusing-pusing cari parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 22 Jan. – Masalah parkir di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Ampangan di sini semakin serius dan memerlukan perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kesesakan berhampiran pusat perkhidmatan kerajaan itu menjadi bertambah kritikal apabila segelintir orang ramai mengambil jalan mudah meninggalkan kenderaan di kiri dan kanan jalan terutama di persimpangan lampu isyarat di situ.

Akibatnya, laluan utama untuk kenderaan keluar masuk menjadi semakin sempit.

Pengunjung, Maizan Tawil, 57, berkata, ruang parkir sedia ada sangat terhad dan tidak lagi mampu menampung pengunjung yang ingin berurusan dan membeli-belah di bangunan tersebut.

“Tempat letak kenderaan memang tidak cukup terutama pada waktu pagi. Walaupun ada tempat parkir yang mengenakan RM3 untuk sekali masuk, ramai yang keberatan untuk letak kenderaan di situ.

“Mereka sanggup letak kereta di bahu jalan sesuka hati sehingga menyusahkan pengguna lain. Bukan saja kereta tetapi motosikal juga banyak diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

UTC tersebut menjadi tumpuan kerana menempatkan pusat beli-belah dan beberapa pejabat kerajaan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Sementara itu, menurut Maizan, beliau lebih selesa menggunakan motosikal kerana tidak perlu bersusah payah mencari ruang parkir.

“Kalau memandu memang susah, kena pusing empat atau lima kali untuk cari ruang parkir,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pekerja kedai pakaian, Syahira Shafwan, 24, berkata, walaupun ada tempat letak ken­deraan di Pasar Ampangan berhampiran dengan UTC, orang ramai lebih rela meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana tidak mahu berjalan jauh.

Katanya, parkir di aras bawah bangunan UTC itu juga terhad, malah pemilik kedai dan pekerja sendiri sukar untuk mendapatkan lot parkir.

“Saya harap PBT dapat tambah ruang parkir untuk kemudahan. Pemandu pula tidak boleh letak kenderaan sesuka hati,” katanya.

Namun Syahira berkata, sejak ke­belakangan ini, pihak berkuasa kurang menjalankan operasi di kawasan itu.

“Pihak berkuasa kena selalu jalankan penguatkuasaan supaya tidak ada yang berani parkir di tepi jalan kerana kea­daan itu berbahaya kepada semua,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×