Bendung keciciran, buli dan ponteng sekolah - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Bendung keciciran, buli dan ponteng sekolah – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PERLIS 23 Jan. – Anggota masyarakat diseru agar lebih peka dan peduli untuk mengatasi masalah keciciran, ponteng dan juga buli di sekolah serta gejala sosial dalam kalangan anak-anak yang boleh mengakibatkan keruntuhan sesebuah masyarakat jika ia tidak dibendung dari awal.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebaliknya tanamkanlah semangat saling bantu membantu dalam menangani masalah sosial di lokasi setempat masing-masing.

“Kita juga harus lebih bertanggungjawab dan tiada lagi sikap seperti “Enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing,” titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri program ‘Op Sifar Cicir Sekolah Khas’ yang disertai sama oleh seramai lapan orang duta besar negara ahli Kesatuan Eropah (EU) dari Kuala Lumpur yang diketuai oleh Duta EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez petang semalam.

Berangkat sama ke program yang diadakan di pekarangan Muzium Kota Kayang, Kuala Perlis ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat, anakanda-anakanda baginda berdua Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Program berkenaan yang disekalikan dengan ‘Kayuhan MAIPs Peduli’ kali ke-7 bagi tahun 2019 itu turut melibatkan kehadiran seramai 60 asnaf terpilih daripada kawasan Kampung Panggau, Kota Kayang dan Kg Wai Kuala Perlis menerima sumbangan agihan zakat daripada MAIPs berjumlah RM600 setiap seorang dan mendapat kerjasama penuh daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Duta-duta lain yang turut serta adalah dari Hungary, Austria, Perancis, Republik Czech, Poland, Sepanyol dan Jerman.

Duta-duta besar tersebut sedang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari dua malam di Negeri Perlis dari 21 hingga 23hb Januari 2019.

Terdahulu daripada itu ahli delegasi tersebut mengadakan lawatan ke Kompleks Dewan Undangan Negeri dan menerima taklimat pembangunan dan peluang-peluang pelaburan di negeri ini yang disampaikan oleh pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×