Bekas pemandu Zahida Rafik diarah pulangkan wang RM200,000 - Utusan Malaysia

Bekas pemandu Zahida Rafik diarah pulangkan wang RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Jan. – Bekas pemandu peribadi kepada pelakon Zahida Rafik, Noor Azman Azemi perlu memulangkan wang sebanyak RM200,000 yang didakwa diambilnya daripada wanita itu tujuh tahun lalu.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan perintah berkenaan yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan pada 16 Mei tahun lalu selepas berpuas hati dapatan mahkamah itu adalah betul.

Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusof dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh turut menolak rayuan Noor Azman, 44, dalam saman fitnah dikemukakannya terhadap Zahida, 43, pada November 2013.

Dalam penghakiman sebulat suara yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed berkata, Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan Zahida yang dinamakan sebagai pihak defendan gagal membuktikan pembelaan justifikasi namun Mahkamah Rayuan pula menerima pembelaaan pelakon itu.

Azahar berkata, Mahkamah Rayuan antaranya mendapati terdapat bukti yang meyakinkan Zahida mengamanahkan kepada plaintif RM200,000 untuk dimasukkan ke dalam bank, bagaimanapun plaintif gagal berbuat demikian.

Beliau berkata, selepas membaca penghakiman Mahkamah Rayuan, mahkamah mendapati aduan yang dibuat peguam perayu (Noor Azman) adalah berikutan beliau gagal memahami terma penghakiman itu.

“Dengan ini, tidak dapat dibuktikan bahawa terdapat satu ketidakadilan yang amat serius yang berlaku bagi membolehkan kami campur tangan. Sehubungan itu, kami berpendapat rayuan ini gagal dan hendaklah ditolak,” katanya.

Noor Azman menyaman Zahida dengan mendakwa pelakon itu secara salah dan berniat jahat memberi kenyataan fitnah dalam artikel diterbitkan sebuah akhbar berbahasa Melayu pada 3 Mac 2012 berhubung kehilangan RM200,000.

Mahkamah Tinggi pada 26 Februari 2015 membenarkan saman fitnah Noor Azman dan menolak tuntutan balas Zahida bagi menuntut jumlah yang sama daripada bekas pemandunya itu.

Pelakon terbabit kemudian mengemukakan rayuan dan pada 16 Mei tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selain menolak tuntutan Noor Azman dan membenarkan tuntutan balas Zahida. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN