Bayi tujuh bulan maut di bawah jagaan pengasuh - Utusan Malaysia

Bayi tujuh bulan maut di bawah jagaan pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Jan.- Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala di rumah pengasuhnya dalam kejadian di Kampung Setia Jaya, Setapak di sini semalam.

Difahamkan, ketika kejadian, bayi tersebut dijaga pengasuhnya dan disedari ibu mangsa kira-kira pukul 12.15 tengah hari selepas menerima panggilan daripada wanita berkenaan yang memaklumkan bayi itu tidak boleh bernafas.

Apabila tiba di rumah pengasuh, ibu mangsa mendapati bayi itu tidak sedarkan diri dan tubuhnya pucat selain bawah mata kanan anaknya lebam serta hidungnya berdarah.

Wanita itu kemudian menghubungi suaminya sebelum membawa bayi mereka ke sebuah klinik swasta di Taman Melati namun doktor di situ kemudian mengarahkan bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia selepas beberapa minit menerima rawatan di HKL.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff berkata, bapa mangsa berusia 33 tahun mendakwa anaknya berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke rumah pengasuhnya pagi semalam.

Katanya, bedah siasat oleh bahagian forensik HKL mendapati punca kematian bayi berkenaan adalah kecederaan dan pendarahan dalaman di bahagian kepala mungkin akibat terjatuh.

“Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dan siasatan berhubung punca sebenar kejadian ini sedang dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN