GEORGE TOWN – Seorang bapa bertindak kejam apabila tergamak menyimbah badan anak perempuannya dengan air panas selepas berang dengan tindakan mangsa yang dituduh mencuri duit ibunya sebanyak RM10 baru-baru ini.
Kejadian pada pukul 9 malam di sebuah rumah di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini Khamis lalu itu mengakibatkan kanak-kanak berusia lapan tahun itu melecur pada badan sebelah kanan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian itu disedari oleh jiran mangsa yang memaklumkan kepada rakannya sebelum bertindak membuat laporan polis keesokan harinya.
“Pengadu berusia 32 tahun itu telah pergi ke rumah mangsa dan terkejut apabila terdapat kesan melecur pada bawah lengan, rusuk dan dada kanan. Dia kemudian terus memaklumkan kepada rakannya sebelum membuat laporan polis.
“Menurut pegawai perubatan, kesan tersebut tidak memerlukan sebarang pembedahan plastik, namun diberikan rawatan dengan meletakkan skrub dan mencuci luka dengan antibakteria,” katanya kepada pemberita semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










