Banjir, tiga keluarga dipindah di Kemaman - Utusan Malaysia

Banjir, tiga keluarga dipindah di Kemaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 5 Jan. – Berikutan hujan lebat sejak pagi tadi, seramai 12 orang daripada tiga keluarga di Kemasik dekat sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili ketika mengesahkan perkara itu berkata, kesemua mangsa terlibat merupakan penghuni kawasan penempatan rumah murah di Kemasik.

Beliau bagaimanapun memberitahu, pemindahan itu hanya bersifat sementara dan mangsa dijangka pulang ke rumah masing-masing malam ini memandangkan keadaan cuaca dijangka kembali cerah selain air mulai surut.

“Kita yakin kesemua mangsa ditempatkan sementara di pusat pemindahan berkenaan dan keadaan dijangka kembali pulih malam ini dan mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Saiful Azmi menyatakan demikian ketika ditemui selepas selesai majlis penutupan dan penyampaian hadiah Kejohanan Motocross Monsun Kerteh 2019 di Pantai Kuala Kerteh dekat sini petang ini.

Majlis penutupan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Saiful Azmi memberi jaminan pihaknya sentiasa memantau perkembangan banjir dari semasa ke semasa dan penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan agar mematuhi segala arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN