KUALA LUMPUR 20 Jan. – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berbincang semula dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menentukan semula kedudukan perseorangan wanita, Goh Jin Wei dalam sistem tiering (berperingkat) kendalian badan induk sukan negara itu. Pada ketika ini, Jin Wei diletakkan pada tier atau peringkat ketiga dan hanya Datuk Lee Chong Wei berada di dalam tahap satu berdasarkan kepada pencapaiannya pada Sukan Olimpik yang lalu. Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, permasalahan yang berlaku ketika ini hanya salah faham kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah.
Katanya, kedudukan pemain dalam peringkat satu ketika ini dibuat berdasarkan kepada persembahan mereka sebelum ini pada Sukan Olimpik, manakala, tier kedua adalah bagi mereka yang pernah beraksi pada Sukan Asia serta Sukan Komanwel.

“Semua ini hanya salah faham dan kami akan cari jalan penyelesaian terbaik untuk Jin Wei, selain, menyediakan segala kemudahan terbaik selaras dengan prestasi semasanya.
“Memang semua tahu bahawa Jin Wei ada potensi untuk ke Tokyo 2020, tetapi, dia tidak memiliki sejarah dalam Sukan Olimpik, Sukan Asia atau Sukan Komanwel, jadi atas dasar itu dia diletakkan di bawah tier tiga.
“Kami akan berbincang balik dengan MSN mengenai hal ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, bahawa mereka sukar untuk menerima keputusan MSN apabila memutuskan Jin Wei hanya berada pada tier tiga dan menyifatkan pemain itu layak berada pada peringkat satu.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bersedia untuk mengadakan perbincangan semula dan berharap BAM akan membawa usul berkenaan.










