Awasi ‘jerat cinta’ warga asing - Utusan Malaysia

Awasi ‘jerat cinta’ warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
RASANYA
sudah tiba masa untuk kerajaan mengambil cakna dan memandang serius tentang hal ehwal perkahwinan rakyat tempatan dengan warga asing berikutan akhir-akhir ini terlalu banyak berlaku kes-kes perceraian antara mereka setelah berkahwin beberapa lama.

Bagi mengekang masalah sebegini daripada terus berlaku, kerajaan perlu menyediakan garis panduan yang jelas tentang soal perkahwinan tersebut agar rakyat tempatan tidak teraniaya dengan perkahwinan yang tidak kekal lama.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (Mapim), Zulhanis Zainol dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, garis panduan mengenai perkahwinan sudah wujud di jabatan agama Islam negeri masing-masing, namun apa yang kurang ketika ini ialah soal penguatkuasaan.

Dalam laporan akhbar, Jabatan Imigresen Kelantan telah mengesan warganegara Pakistan yang mengambil kesempatan untuk berkahwin dengan wanita tempatan semata-mata kerana mahu menetap lebih lama di negara ini bagi membolehkan mereka terus berniaga.

Menurut pengarahnya,Azhar Abdul Hamid, pihaknya menerima banyak rungutan daripada peniaga tempatan tentang semakin ramai warga Pakistan yang berkahwin dengan rakyat tempatan untuk kelangsungan perniagaan mereka.

Setakat ini sudah 400 warga Pakistan berkahwin dengan wanita tempatan di negeri itu, malangnya mereka tidak tinggal bersama, cuma sekadar untuk tujuan tertentu sahaja.

Amalan sebegini amat tidak sihat, seolah-olah memperdagangkan soal jodoh perkahwinan rakyat tempatan yang mana perkahwinan tidak bertahan lama dan akhirnya bertambah jumlah wanita tempatan menjadi janda.

Dalam hal sedemikian, kerajaan perlu membuka mata untuk menangani soal perkahwinan rakyat tempatan dengan warga asing supaya dapat melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas.

OUI BIN SAL

Tanah Merah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×