PULAU PINANG 21 Jan. – Keadaan arus di permukaan dan di dalam laut yang agak deras menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kemalangan di atas Jambatan Pulau Pinang yang menyebabkan sebuah SUV terhumban ke dalam laut awal pagi semalam.
Selain itu, Koordinator SAR, Laksamana Maritim Rozali Mohd. Said berkata, lokasi kawasan pencarian yang berlumpur juga menyebabkan pasukan penyelam gagal menentukan lokasi sebenar kenderaan SUV tersebut.
Jelas beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan beg udara keselamatan di dalam SUV berkenaan yang terbuka ketika kemalangan menyebabkan kenderaan itu dihanyutkan lebih jauh daripada lokasi ia dilaporkan terhumban.
“Bagaimanapun kita telah menambah kekuatan anggota dan aset untuk mencari SUV itu yang mana ketika ini terdapat seramai 108 anggota serta 16 buah bot pelbagai agensi sedang melakukan operasi SAR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Rozali, sekiranya kenderaan itu masih gagal dikesan sehingga ke petang ini, pihaknya akan memperluas kawasan pencarian serta menggunakan aset lebih besar termasuk kapal dari Perak.
Kata beliau, pihaknya juga akan menggunakan aset lebih canggih seperti kenderaan tanpa pemandu di dalam air (UAV) bagi mengesan SUV berkenaan memandangkan keadaan laut ketika ini amat berbahaya kepada para penyelam. – UTUSAN ONLINE










