KEMASUKAN bekas pemimpin UMNO dan wujudnya pertelagahan dalaman di peringkat bahagian merupakan antara isu yang dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya yang melabuhkan tirainya semalam.
Paling menarik perhatian ialah cadangan Naib Presidennya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam ucapan penangguhannya, agar ketua bahagian dan ketua cawangan parti diberi projek kerajaan.
Alasannya, ketua-ketua perlu memperoleh lebih wang dan peluang bagi membolehkan mereka mempertahankan kemenangan parti dan Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang.
Cadangan Abdul Rashid itu mendapat reaksi pelbagai daripada perwakilan sehinggakan gamat dewan persidangan seketika.
Cadangan Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu itu yang merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya ditentang hebat oleh Armada, sayap pemuda parti dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Menteri Belia dan Sukan.
Malah, Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut memberi mesej jelas bahawa pemimpin yang terlibat dalam salah laku tanpa kira kedudukan akan ‘diuruskan’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Mungkinkah untuk mengelak lebih banyak isu dan ‘kelemahan’ Bersatu terdedah, maka sesi perbahasan sepanjang persidangan ditutup kepada media?
Apapun, ucapan pemimpin-pemimpin Bersatu dalam sesi penggulungan mendedahkan sedikit sebanyak wajah sebenar sebahagian anggota parti itu.
Pada ketika Dr. Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berulang kali memperkatakan soal integriti, keikhlasan dan sedia berkorban dalam perjuangan, ada ahli dan pemimpin Bersatu berpendapat sebaliknya dengan alasan memastikan kelangsungan parti yang baru berusia dua tahun itu.
Mungkin juga mereka berpendapat, mereka layak dan hanya inilah masanya iaitu selagi jawatan Perdana Menteri disandang oleh Pengerusi mereka. Jika tidak sekarang, bila lagi?
Pada mereka, niatnya baik namun ibarat pepatah “niat tidak menghalalkan cara”. Dibimbangi akan wujud ketidakadilan dan salah guna kuasa di peringkat pelaksanaan, di sebalik penegasan pu- cuk pimpinan Bersatu khususnya Dr. Mahathir, pengagihan sebarang projek kerajaan dibuat berdasarkan merit, tiada diskriminasi.
Apa yang pasti, melihat kepada reaksi perwakilan terhadap isu-isu yang dibahaskan secara tertutup, perhimpunan kali kedua itu mendedahkan wujudnya puak dalam Bersatu. Sejauh mana Dr. Mahathir dan Muhyiddin dapat menyelesaikan, hanya waktu yang menentukannya.
Bersatu perlu membuktikan bahawa mereka yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan, benar-benar bersatu, beramanah dan bermaruah, tiga ungkapan yang menjadi tagline parti itu.










