Amiratul Afifah suka cabar diri - Utusan Malaysia

Amiratul Afifah suka cabar diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEMAR mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar kebolehan diri menjadi falsafah hidup gadis berusia 20 tahun ini.

Anak kelahiran Kedah, Amiratul Afifah Amran berkata, mereka dan menjahit busana pengantin untuk dipakai pada hari bahagia pelanggan merupakan antara pengalaman luar biasa yang pernah dilakukannya.

 

“Itu adalah pertama kali saya mereka pakaian untuk dipakai pelanggan ketika menjalani latihan industri.

“Gementar sudah tentu wujud tetapi saya lebih gemar begitu kerana mahu mencabar kebolehan dan bakat yang saya miliki,” katanya kepada S2.

Katanya, perasaan bangga melihat hasil kreativiti sendiri dipakai orang lain tentu sahaja ada di mindanya ketika itu.

Sejak itu, dia berazam mahu terus maju di dalam bidang fesyen.

Menurut Amiratul Afifah, dia baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang rekaan fesyen di Kolej Vokasional Tanah Merah, Kelantan dan merancang untuk menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang itu.

“Buat masa sekarang saya masih mencari kerja dalam bidang ini. Apapun saya mengimpikan untuk merealisasikan cita-cita mahu memiliki perniagaan dalam bidang ini suatu hari nanti,” katanya.

Untuk mencapai impian itu, Amiratul Afifah berkata, dia mahu sedaya-upaya mencari pengalaman seluas mungkin dalam masa terdekat.

Antara impiannya termasuk mahu berkhidmat dengan pereka fesyen terkenal dan tersohor di negara ini.

Katanya, bukan mudah untuk mencipta nama dalam bidang rekaan fesyen di negara ini.

Namun, bagi Amiratul Afifah, dengan usaha yang bersungguh-sungguh ditambah semangat yang tidak pernah berputus asa, segala-galanya tidak mustahil dapat dicapai.

Tambahnya, berani berhadapan dengan risiko dalam bidang ini juga menjadi cabaran yang tidak gentar untuk dilaluinya kelak.

“Semua orang berhak untuk berjaya. Yang penting ialah rajin berusaha dan jangan berputus asa,” ujarnya.

Katanya yang juga menggemari melancong bersama keluarga, dia meminati bidang fesyen sejak dari bangku sekolah.

“Hasrat mahu maju dalam bidang ini juga bagi membantu keluarga sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN