SEREMBAN – Seramai 8,167 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di 350 buah sekolah rendah di Negeri Sembilan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, keseluruhan murid dan pelajar dari Tahun Satu sehingga tingkatan 6 Atas termasuk Kolej Vokasional di Negeri Sembilan adalah seramai 166,739 orang.
“Terdapat 475 buah sekolah di negeri ini iaitu 350 buah sekolah rendah dan 125 buah sekolah menengah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dusun Nyior di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Pkharuddin Ghazali, Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Rodiah Md Jan dan Guru Besar SK Tamn Dusun Nyior, Kamaruddin Abu Hassan.
Menurut Mohamad Rafie, jumlah guru di negeri ini seramai 15,764 orang membabitkan 9,547 guru sekolah rendah dan 6,217 guru sekolah menengah.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat sebuah sekolah kurang murid di negeri ini iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ulu Kanchong, Rantau dekat sini.
Jelas beliau, sekolah itu hanya mempunyai empat orang murid dengan 11 orang guru sekolah itu dirancang dipindahkan ke Forest Height di sini apabila pembinaan sekolah baharu di situ siap pada tahun 2020.
“Setakat ini progres pembinaan bangunan sekolah itu telah mencapai 70 peratus,” katanya. – K! ONLINE










