SHAH ALAM 18 JAN. – INKUES untuk menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim, yang terbunuh susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, membuka tirai hari ini dengan 30 saksi bakal dipanggil dalam prosiding tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah selaku pegawai pengendali berkata, antara saksi yang akan dipanggil ialah tujuh saksi profesional terdiri daripada enam pegawai perubatan dan seorang pegawai penyiasat kes.

Di hadapan hakim Rofiah Mohamad yang bertindak sebagai Koroner, Hamdan memaklumkan, saksi pegawai perubatan tersebut merupakan doktor yang merawat Muhammad Adib di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pakar forensik.
Saksi selebihnya pula jelas beliau terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, ahli keluarga dan juga polis.
Dalam pada itu, Mahkamah Koroner juga menetapkan inkues akan berlangsung selama 44 hari melibatkan tiga fasa prosiding dengan fasa pertama bermula pada 11 hingga 28 Februari, fasa kedua pada 1,4,5 dan 19 hingga 29 Mac manakala fasa ketiga pada 1 hingga 12 April.
Pada masa sama, Rofiah juga mengarahkan saksi profesional dan pegawai penyiasat memberi keterangan dalam bentuk penyataan saksi, yang mana membolehkan pihak-pihak berkepentingan dan koroner untuk bertanya lanjut.
Rofiah juga membenarkan rakaman video yang tular di laman sosial berkaitan insiden tersebut ditayangkan seperti dimohon pegawai pengendali, namun peralatan seperti projektor perlu dibawa sendiri.
Selain itu, Rofiah membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai pemerhati sepanjang prosiding inkues, namun menetapkan 31 Januari untuk mendengar hujahan peguam Siti Kassim yang mewakili Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman.
Sementara itu, Cyrus Tui Foo Woei yang mewakili Majlis Peguam turut memohon menjadi peguam pemerhati dalam inkues itu atas alasan mempunyai kepentingan, tetapi keputusan terhadap permohonan itu akan diputuskan pada hari yang sama, selepas penghujahan.
Muhammad Adib yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember lalu cedera parah selepas dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini pada 27 November lalu.
Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di SJMC, sebelum dipindahkan ke IJN tetapi akhirnya meninggal dunia pada 17 Disember lalu.










