KUALA LUMPUR 31 Dis. – Sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menoktahkan polemik menyalahkan kerajaan dahulu dengan memberi tumpuan serius kepada usaha membantu rakyat khususnya golongan sasar.
Ini kerana, tindak-tanduk tersebut jika berterusan hanya membantutkan usaha merangka dan melaksanakan dasar yang komprehensif terutamanya dalam berdepan dengan cabaran baharu pada tahun 2019.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George, selain peningkatan kos sara hidup secara mendadak, ketidaktentuan ekonomi global dan negara yang memberi kesan kepada nilai ringgit, kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan terus memberi cengkaman hebat kepada kehidupan rakyat.
“Pada masa ini, kerajaan disarankan untuk terus merangka dasar yang boleh memberi manfaat kepada rakyat secara terus.
“Usah bercakap tentang agenda dan pembaharuan yang mahu dibawakan jika masih samar-samar, sebaliknya kerajaan perlu beri tumpuan lebih dalam aspek membantu bantu rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam masa sama, Jacob turut meminta kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mewujudkan formula tepat dalam menentukan kenaikan kos sara hidup berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, tindakan menaikkan kos Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) pada 1 Mac depan secara tidak langsung akan memberi kesan kepada peningkatan harga barang dan perkhidmatan.
“Jika keputusan itu diteruskan, saya percaya pemain-pemain industri atau pun pengilang dan sektor peruncitan akan menaikkan harga barang bagi menanggung kos pengurusan sedia ada,” ujarnya.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan pula menzahirkan kebimbangan terhadap keupayaan majikan untuk terus bertahan dalam industri sekiranya kos operasi terus meningkat.
“Sekiranya perkara ini tidak ditangani kerajaan, saya percaya tahun 2019 ini akan berlaku lebih banyak isu pembuangan pekerja serta kadar pengangguran dalam kalangan graduan.
“Jika keputusan itu diteruskan, saya percaya pemain-pemain industri atau pun pengilang dan sektor peruncitan akan menaikkan harga barang bagi menanggung kos pengurusan sedia ada,” jelasnya.










