2 perompak tidak sempat nikmati hasil, ditahan polis 3 selepas kejadian - Utusan Malaysia

2 perompak tidak sempat nikmati hasil, ditahan polis 3 selepas kejadian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 8 Jan. – Dua perompak tidak sempat menikmati hasil samun mereka yang memecah masuk sebuah rumah di Taman Aston Indah di sini awal pagi semalam apabila ditahan selepas tiga jam polis menerima laporan kejadian itu.

Kedua-dua mereka yang masing-masing berumur 50 tahun dan 30 tahun serta mempunyai beberap rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah ditahan di sebuah rumah di Kulim, Kedah kira-kira pukul 9.30 pagi.

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan kira-kira pukul 6 pagi berkaitan kes jenayah melibatkan sebuah rumah di pecah masuk membabitkan kerugian kira-kira RM10,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk kira-kira pukul 4 pagi selepas terjaga dan mendapati pintu hadapan dan belakang rumahnya serta pintu bilik lain terbuka.

“Rumah itu didiami suami isteri bersama lima anak mereka dan ketika kejadian sedang tidur di bilik masing-masing.

“Bagaimanapun, mereka tidak menyedari rumah mereka dipecah masuk penjenayah berkenaan menerusi tingkap bilik air di tingkat dua dan tiada kesan mana-mana bahagian rumah diumpil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, penjenayah berkenaan berjaya melarikan pelbagai barangan berharga seperti tiga buah komputer riba, barang kemas, telefon bimbit dan jam tangan serta wang tunai sebanyak RM2,800.

Tambahnya, kesemua hasil rompakan itu berjaya ditemukan semula bersama kedua-dua suspek dan polis turut merampas sebuah motosikal yang digunakan suspek ketika kejadian yang disahkan motosikal curi.

“Kita akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas kedua-dua suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kes ini dianggap selesai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN