ALOR SETAR 24 Jan. – Jabatan Pendidikan negeri merekodkan seramai 193 orang pelajar termasuk murid sekolah rendah di negeri ini terlibat dalam penyalahgunaan air ketum sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr. Salmee Said berkata, jumlah itu amat membimbangkan kerana kandungan di dalam bahan terbabit menyamai beberapa jenis dadah yang membawa kesan berbahaya.
“Seperti kita tahu, lebih 100 hektar ladang ketum wujud di negeri ini, malah pokok-pokok ketum juga mudah didapati di persekitaran rumah yang pastinya mendedahkan kepada para pelajar yang terpengaruh kerana segelintir ibu bapa mereka juga mengambil air ketum.
“Justeru, saya sokong penuh perancangan kerajaan negeri untuk menghapuskan ladang ketum bagi membanteras gejala tidak sihat ini, selain itu saya turut menyarankan pihak sekolah bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memberi penerangan tentang masalah ketum dan dadah,” katanya selepas menghadiri Perjumpaan Pengetua dan Guru Besar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Abd. Aziz Selaiman.
Tambah Salmee, statistik juga menunjukkan lebih 400 orang pelajar sekolah menengah dan rendah terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan ketum tahun lalu dengan menggunakan pelbagai alasan untuk mengambil kedua-dua bahan terlarang itu.
Sementara itu, Abd. Aziz berkata, Jabatan Pendidikan negeri bersedia menempatkan Guru Pendidikan Islam, Nur Farhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan dalam keadaan selamat di sekolah berdekatan kediamannya.
“Kami hanya menunggu arahan dan tiada halangan untuk menempatkan guru itu di mana-mana sekolah sekiranya mendapat pelepasan daripada Jabatan Pendidikan Pulau Pinang yang difahamkan kini sedang berbincang dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan.
“Proses pertukaran beliau akan mengikuti prosedur biasa dalam perkhidmatan dan kami bersedia membantunya bagi mengatasi masalah yang dihadapinya selepas urusan di Pulau Pinang selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Abd. Aziz meminta pihak sekolah mewujudkan ekosistem pengurusan yang gembira bagi mengelak tekanan kerja melibatkan 36,000 orang guru di seluruh negeri ini, sekali gus mampu menyelesaikan masalah berbangkit. -UTUSAN ONLINE










