13,000 pencarum nikmati faedah Perkeso RM5.7 juta - Utusan Malaysia

13,000 pencarum nikmati faedah Perkeso RM5.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 10 Jan. – Sepanjang tahun lalu, seramai 13,000 pencarum di Terengganu menerima bayaran daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM5.7 juta.

Menurut Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yaacob, bayaran itu melibatkan kira-kira 1,300 kes termasuk hilang upaya kekal, hilang upaya sementara serta pencen penakat.

“Bantuan faedah Perkeso ini sangat penting dan besar maknanya kepada setiap pencarum di mana tujuan diwujudkan skuad untuk adakan promosi berterusan supaya majikan perlu lebih bertanggungjawab bagi membolehkan pekerja masing-masing membuat caruman,” katanya.

Nora menyatakan perkara itu kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan bantuan Perkeso kepada keluarga mantan Pengurus Tabung Haji cawangan Marang, Allahyarham Zulkifli Tajudin di kediamannya di Sungai Kerak di sini semalam.

Bantuan berupa kos pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 dan pencen penakat RM2,500 sebulan itu diterima oleh isteri Allahyarham, Sarimah Abu Bakar, 55.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Tuan Faezah Tuan Abd. Rahman dan Pengarah Tabung Haji (TH) Terengganu, Datuk Mohyen Mosman.

Allahyarham Zulkifli, 55, meninggal dunia di Kuantan Medical Centre (KMC) di Kuantan Isnin lalu akibat serangan jantung selain masalah buah pinggang dan diabetes.

Nora berkata, hasil makluman daripada majikan akan membolehkan Perkeso bertindak menyalurkan bantuan yang bukan hanya tertumpu kepada bantuan pemohon semata malah melibatkan tanggungan serta waris pencarum.

Dalam pada itu, Sarimah ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas tindakan cepat skuad prihatin Perkeso yang menghubungi dan menziarahinya bagi tujuan penyerahan bantuan faedah berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Perkeso kerana begitu cepat membantu menyalurkan bantuan kepada keluarga saya,” kata ibu kepada lima orang anak itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN