BN guna bendera,
baju lama
BARISAN Nasional (BN) mempraktikkan amalan berjimat dalam kempen pilihan raya kali ini apabila mengguna pakai semula bendera dan baju T parti itu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pada Mei lalu.
Jentera parti itu juga kebanyakannya menjalankan kempen secara sukarela dan bergotong-royong termasuk membeli sendiri buluh untuk dipasangkan bendera.
“Bendera dan baju-baju lama kita pakai semula, kita kitar daripada PRU-14. Kita tidak mahu melakukan pembaziran.
“Kita bernasib baik kerana tempoh antara PRU-14 dan pilihan raya kecil (PRK) ini tidak jauh dan banyak bahan kempen yang masih elok untuk digunakan,” ujar seorang petugas.
Seloroh calon Bebas ceriakan media
JAWAPAN spontan calon Bebas, Wong Seng Yee ketika menjawab soalan media mengenai kaedah kempen secara sederhana diamalkannya meskipun calon parti-parti lain telah memasang bendera dan poster seawal tempoh berkempen mencuit hati pengamal media.
Jawapan lurus dalam nada berseloroh itu bukan sahaja menyebabkan wartawan ketawa malah Seng Yee juga ikut ketawa bersama.
“Bagi saya, pasang bendera amat membazir. Saya tidak akan buat begitu. Pertamanya ia membazirkan duit dan kedua, saya tidak cukup duit untuk buat sedemikian,” katanya.
Kira dua kali, patutlah mahal
RM18 untuk nasi goreng ayam dan teh O panas? Ia harga yang tidak munasabah!
Apabila ditanya kepada peniaga, mustahil harga makanan semahal itu, terus dia memberitahu tersilap ‘tekan’ kalkulator dan membuat kiraan dua kali.
Apabila dikira semula harga dua hidangan itu terus bertukar kepada RM9. Kira dua kali patutlah mahal.
Calon tak berani keluar dompet
CALON-CALON yang bertanding dalam PRK Parlimen Cameron Highlands seakan-akan fobia ekoran tular gambar seorang petugas jentera parti yang bertanding memberikan duit minyak kepada pengundi.
Ini menyebabkan calon bertanding berhati-hati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak berani mengeluarkan dompet di khalayak umum hatta untuk membeli barang sekalipun.
Mungkin takut dituduh mahu mengeluarkan duit untuk memberi rasuah kepada orang ramai. Itu yang berlaku terhadap seorang calon bertanding ketika membeli rock melon atau tembikai wangi di Kuala Medang baru-baru ini.
Calon tersebut hanya membiarkan petugasnya membeli dan memberitahu media bahawa beliau perlu memastikan dia bebas daripada politik wang.
“Saya kena berhati-hati kerana kita diperhatikan,” katanya.
Menteri pun beli?
SELAIN cerita politik yang menjadi topik hangat dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, perkara yang tak lekang di bibir lelaki sudah semestinya ‘ubat kuat’.
Mana tidaknya, dalam sibuk berkempen pun, ada lelaki daripada jentera parti politik masih berminat dan mencari ubat itu semasa lawatan seorang menteri di pasar pagi Kuala Medang semalam.
Malah, peniaga tersebut, Mohd. Sani Ishak berkata, dia menjadi ‘sasaran’ beberapa menteri sebelum itu bagi mencuba keberkesanannya termasuk semasa PRU-14 dan PRK kali ini.
Sungai Koyan meriah
SUNGAI Koyan tidak popular seperti Tanah Rata atau pun Brinchang. Jika ada pun hanya pada masa tertentu.
Namun untuk dua minggu ini, Sungai Koyan yang merupakan kawasan di bawah Parlimen Cameron Highlands berubah wajah dengan dihiasi pelbagai ‘warna’ di sekitar pekan tersebut.
Malah, ada kedai makan sarat dengan majoriti pelanggan yang terdiri daripada orang luar.
Apa yang menarik, ada kepelbagaian warna tanpa mengira ‘merah’, ‘biru’ mahupun ‘oren’ di meja makan.









