KUALA LUMPUR 17 Dis. – Selepas menyertai pasukan ibu negara, destinasi pilihan kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Radzak kini ke Kedah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.
Perkara itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menerusi laman Facebook rasmi mereka petang tadi, dengan pemain kelahiran Negeri Sembilan berusia 31 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama skuad Lang Merah.
“Pengalaman besar di peringkat antarabangsa mampu melonjak pasukan dengan cabaran getir di musim 2019.
“Zaquan tertarik untuk memakai jersi Kedah selepas kerap berhubung dengan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak dan pengurusan bagi perancangan rapi untuk musim depan.
“Zaquan sebelum ini beraksi bersama Kuala Lumpur antara senjata pemusnah yang digeruni oleh mana-mana pasukan. Berjuanglah sejiwa murni,” ujar KFA menerusi status Facebook.
Sesi tandatangan kontrak itu berlangsung di Kuala Lumpur, dengan Naib Presiden KFA 1, Anas Hafiz Mustafa yang juga Ketua Unit Pasukan Liga Super Kedah hadir menyaksikan majlis tersebut.
“Zaquan yang beraksi di bahagian serangan merupakan kapten Harimau Malaya dan kebangkitan dari prestasi suram sebelum ini memberi kesan positif buat skuad hijaukuning musim ini.
“Pengalaman luas beliau di peringkat antarabangsa dapat memberikan kelebihan bukan sahaja kepada pasukan malah kepada pemain muda yang kini bersama skuad utama,” kata KFA dalam satu lagi status berhubung ketibaan penyerang kebangsaan itu.
KFA juga mengumumkan dua lagi pemain luar iaitu import Brazil, Renan Alves untuk posisi pertahanan dan pemain tengah dari Sepanyol, Fernando Rodriguez.- UTUSAN ONLINE










