Wat Uttamaran dan Kampung Teresek bakal lenyap? - Utusan Malaysia

Wat Uttamaran dan Kampung Teresek bakal lenyap?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG 9 Dis. – Rumah ibadat masyarakat Siam Wat Uttamaran yang berusia 180 tahun dan Kampung Teresek, Repek bakal ‘lenyap’ sekiranya kerajaan tetap bertegas untuk mengambil alih tanah untuk projek tebatan banjir di Sungai Lemal dalam masa terdekat.

Kerja-kerja pengambil alihan itu bukan sahaja bakal ‘menelan’ Wat Uttamaran malah rumah penduduk akan turut lenyap sekaligus menyebabkan mereka hilang tempat tinggal.

Wakil penduduk, Eh Song Thasuk berharap kerajaan dapat menimbang semula cadangan tersebut kerana tindakan itu memberikan impak yang cukup besar kepada mereka.

“Jika tanah ini diambil, kami akan hilang dua perkara. Pertama rumah ibadah yang sudah mencecah ratusan tahun dan rumah serta tanah. Kampung inilah satu-satunya tanah tumpah darah kami.

“Kami tidak menolak pembangunan sebaliknya mahu kerajaan khususnya Kerajaan Pas Kelantan meneliti sebelum membuat keputusan berhubung perkara tersebut,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, penduduk Kampung Teresek berhimpun secara aman di Wad Uttamaran merayu kerajaan negeri supaya mengkaji balik hasrat tersebut.

Yang turut hadir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra daripada Parti Amanah Negara, Mohd Hisyamuddin Ghazali.

Eh Song memberitahu, lebih merumitkan keadaan mereka tidak boleh untuk membeli tanah di kawasan sekitar kerana diklasifikasikan sebagai Tanah Rizab Melayu.

Katanya, penduduk sentiasa terbuka untuk berdialog dengan pihak kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung perkara itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN