MEMBACA tajuk-tajuk utama akhbar seminggu dua ini agak menyesakkan dada. Bukan tentang bola sepak mahupun isu sensasi lainnya, tetapi membabitkan institusi kewangan berlatarbelakangkan agama.
Lebih menyesakkan tatkala membaca komentar netizen dalam media sosial. Sebahagiannya punya asas, tetapi malangnya kebanyakan sebaliknya, lalu hujah dan bebelannya menuju ke ‘laut’ sedangkan isunya masih di ‘darat’. Syukur ada langkah baik pulih sedang dilaksanakan. Moga natijahnya adalah kebaikan.
Apapun yang berlaku semua ini adalah kerana sifat kemanusiaan. Puncanya adalah satu bentuk kegilaan. Pesona yang menjadi idaman dan ujian. Siapapun belum tentu terjamin dirinya selamat daripada setiap rintangan.
Kelicikan manusiawi dalam tipu daya syaitan. Ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapa. Pedihnya menjalar ke segenap urat nadi realiti. Meskipun pahitnya keras, namun terpaksa dirasakan jua. Isu pesona dunia umat terdahulu, kini dan selamanya. Pesona harta yang membutakan jiwa.
TIPU DAYA HARTA
Allah menyifatkan konotasi manusia dan kecintaannya terhadap harta dengan Firman-Nya dalam surah al-Fajr ayat 20 maksudnya: “Kamu (wahai manusia) sayangkan harta secara tamak haloba.”
Imam Ibn Kathir menjelaskan dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azim, sifat ini merujuk kepada kecintaan teramat sangat sehingga membuat sebahagian besar dalam kalangan manusia bertambah kemaksiatan dengan sebab harta.
Imam al-Qurtubi pula menjelaskan sifat kecintaan terhadap harta tidak dikira sama ada halal atau haram.
Imam Ibn A’syur pula memberi sudut pandang serupa daripada pemahaman bahasa Arab iaitu perkataan ‘Jamma’ (al-Jamm) membawa maksud banyak. Dikatakan banyaknya air yang memenuhi telaga. Perkataan ini hanya digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang bersangatan sifatnya sehingga berlebihan atau melampau.
Dalam ayat ini perbincangannya mengenai harta dan kecintaan melampau secara negatif sehingga menyebabkan manusia berusaha mengumpul harta secara tidak hak, memanipulasi kebenaran, menyeleweng, melakukan jenayah kolar putih, mencuri secara profesional dan melanggar amanah.
Syaikh Tantawi pula menjelaskan ayat ini bahawa betapa Allah menyifatkan sebahagian manusia yang menghimpunkan segala keburukan akhlaknya antaranya buruk tutur kata dan keji amal perilakunya. Dalam kalangan itu termasuk menghimpunkan harta tanpa memisahkan aspek halal haram dan mencintainya dengan cara keji.
Justeru, anggaplah ini peringatan tegas dari Allah. Mengumpul harta bukanlah sesuatu yang pada dasarnya bersifat keji dan menjelekkan. Apa yang jelek dan pelik itu adalah menjadikan harta sebagai sembahan.
Ulama dan sasterawan Indonesia, Hamka menasihatkan dalam bukunya Falsafah Hidup: ‘Harta adalah jambatan mencapai tujuan. Justeru, supaya harta itu selamat dalam tangan kita dan selamat pula memegangnya, janganlah ia dihargakan lebih daripada qimatnya (nilai) yang sejati. Banyak huru hara dan fitnah, kesulitan yang timbul dalam dunia ini disebabkan harta. Namun, orang tetap memerlukannya juga.”
Hakikat dunia hari ini memperlihatkan uruf (kebiasaan) yang amat membimbangkan. Ramai sanggup memperniagakan kehormatan diri, agama, bangsa, kemanusiaan bahkan tanah airnya kerana alasan harta. Hingga semua yang dipandang agama sebagai jelek, sebaliknya orang yang menentang mereka dianggap bodoh dan jahil mencari peluang.
Hamka juga menyinggung sesetengah golongan terutama bergelar ilmuwan agama yang turut terpalit dengan penyakit cintakan harta. Kata beliau: ‘Penyakit ini sangat cepat menularnya! Para ulama sendiri tidak terlepas daripadanya. Perbuatan yang akan menguntungkan umat boleh jadi ‘haram’ hukumnya jika tiada keuntungan buat dirinya. Sebaliknya jika beliau dapat mengubah laba, barang yang haram boleh menjadi halal. Di Turki, ada ulama yang memfatwakan pemerintahan Mustafa Kemal itu haram hukumnya, murtad dan wajib diperangi kerana dia ingin mengubah negara itu. Tetapi, tentera Inggeris yang melabuhkan kapal perangnya di pelabuhan Istanbul, tidak ada hukumnya. Apa sebabnya? Tidak lain kerana para ulama telah diberi harta oleh Inggeris. Astaghfirullah!
Inilah pesona harta yang boleh mengubah landskap kemanusiaan bahkan agama.
BUKAN SALAH HARTA
Harta tidak salah, sebaliknya murni pada zatnya jika terpelihara sumber dan ke mana dibelanjakan. Harta itu tidak salah jika diperoleh dengan cara memenuhi kehendak Yang Esa, diusahakan sebaiknya, diterima dan dipenuhi amanahnya serta halal serba serbinya.
Harta sendiri tidak bertanggungjawab apa yang berlaku padanya. Semua ini kembali kepada empunya dan pencari harta. Ya! Manusia. Tamak haloba dan kerakusan mereka itulah menjelikkan fungsi harta.
Sewajarnya dengan harta itu mampu membina kebaikan dalam beragama, mampu menyantuni keperluan asnaf dan maslahat anak yatim serta golongan kurang upaya. Harta mampu membangun sosioekonomi umat daripada melarat kepada hebat. Harta juga jika benar urus tadbirnya mampu menyuburkan kebaikan dalam rezeki yang bersalut berkat.
Bingkisan kali ini mahu menjentik sedar. Kita sedang berada di tengah-tengah medan fitnah akhir zaman. Sayugia kita mampu memilih. Menjadi sebahagian daripada kerancakan fitnah atau menjadi pembela menyelamat ummah. Kita telah sirna daripada kekuatan.
Kekuatan ikhlas yang menjadi tunjang umat terdahulu dengan penuh kemuliaan. Bukanlah matlamat harta itu dinafikan, namun di mana hilangnya nilai keikhlasan? Apakah semua mesti diukur dengan neraca ganjaran dunia?
Ketamakan manusia adalah memandang jiwa dan denyut nadi kehidupan kepada harta serta keuntungan dunia. Jika orangnya soleh, maka hartanya juga ikut soleh. Tapi jika orangnya tidak soleh, harta soleh pun boleh menjadi rosak dan lekeh.










