Warga emas maut kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai - Utusan Malaysia

Warga emas maut kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR – Seorang lelaki warga emas maut setelah kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki bersama keluarganya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 74 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh berhampiran dengan Kampung Sungai Serian dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian sekitar pukul 2.20 pagi itu, mangsa Abd Samat Idris, 71, bersama empat lagi ahli keluarganya sedang dalam perjalanan menuju ke Jengka, Pahang dari Seri Iskandar, Perak.
 
“Sebaik tiba ke lokasi kejadian, kereta yang dipandu oleh anak si mati telah terbabas dengan sendiri sebelum melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan lalu terhumban ke dalam sebatang sungai yang terdapat di sana.
 
“Ekoran daripada kemalangan tersebut, kereta yang dinaiki lima sekeluarga berkenaan telah tersangkut di paip sebuah jambatan yang terdapat di sungai itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Menurut Bak Phai, Abd Samat yang duduk di bahagian penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala serta badan dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.
 
“Bagaimanapun, ketiga-tiga penumpang lain serta pemandu Perodua Alza berkenaan yang terdiri daripada dua lelaki serta dua kanak-kanak berusia 5 hingga 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
“Kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×