KLUANG – Selepas tiga hari dilaporkan hilang, seorang warga emas ditemui tidak bermaya terbaring di atas jalan di Ladang Kelapa Sawit MCA, Layang-layang di sini pagi hari ini.
Mangsa, Tan Kek Wah, 79, ditemui pada pukul 9 pagi oleh pekerja ladang terbabit dalam keadaan badannya terbaring penuh lumpur di atas jalan tanah di laluan ladang berkenaan.
Difahamkan, mangsa ke kebun pada pagi Ahad lalu untuk melakukan kerja-kerja memetik kelapa sawit sebelum motosikal jenis Honda dinaikinya kehabisan minyak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Ashraf Nur Mohd. Yusoff berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan pagi semalam sejurus keluarga mangsa melaporkan kehilangan lelaki terbabit.
“Gerakan SAR mangsa dilaksanakan sejak pukul 8.49 pagi semalam bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan bomba dan penyelamat sukarela serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasukan SAR melakukan carian sehingga dua kilometer dari jalan utama untuk memasuki ladang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ashraf Nur berkata, mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya terbaring di atas jalan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE.










