KOTA BHARU 29 Dis. – Utusan Malaysia memenangi dua anugerah pada Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan (MAKK 2017) anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Dewan Jabatan Pendidikan Negeri, Tunjong, di sini malam tadi.
Wartawan sambilan, Asma Hanim Mahmood memenangi tempat kedua kategori Berita Media Sosial Terbaik menerusi artikel bertajuk Bangla Lebih Sayangkan Saya dan membawa pulang hadiah wang tunai RM700, piala, sijil dan hadiah iringan.
Sementara itu, jurugambar Kumpulan Utusan, Shiddieqiin Zon memenangi tempat ketiga kategori Foto Terbaik menerusi hasil bidikan kameranya yang bertajuk 7 Pelajar Tahfiz Maut Kemalangan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500, piala, sijil dan hadiah iringan.
Selain dua kategori itu, MAKK 2017 yang memasuki edisi keempat penganjuran mempertandingkan lima kategori lain iaitu Berita Akhbar Terbaik, Rencana Akhbar Terbaik, Berita TV Terbaik, Rencana TV Terbaik serta Visual TV Terbaik.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim dan isteri, Tengku Puan Laksamana Kelantan, Datuk Seri Syarifah Azwan Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa; Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Tunas Duta Cemerlang, Mohd. Hafizuddin Hiew dan Presiden Kemudi, Azran Fitri Abdul Rahim.










