LIVERPOOL – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengakui skuad kendaliannya gagal menyaingi kemampuan fizikal serta kecergasan pemain Liverpool ketika tewas 1-3 pada aksi Liga Perdana England (EPL) di Anfield awal pagi semalam.
Kemenangan ke atas United menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp itu terus mengungguli carta liga tanpa sebarang kekalahan selepas 17 perlawanan.
Walaupun kecewa dengan kekalahan itu, namun Mourinho menegaskan dia berasa gembira dengan kerja keras yang ditampilkan barisan pemainnya, lebih-lebih lagi berdepan pasukan berkualiti seperti The Reds.
“Pemain-pemain United sudah memberikan segala-galanya dan saya gembira dengan prestasi mereka. Kami bermain mengikut kualiti yang dimiliki, sama seperti corak permainan Liverpool pada perlawanan ini.
“Mereka (Liverpool) sangat pantas dan agresif. Selain itu, mereka juga memiliki kelebihan dari segi fizikal. Saya kagum dengan aksi yang ditampilkan (Andrew) Robertson kerana dia sentiasa berlari,” kata Mourinho.
Dalam pada itu, bekas pengurus Chelsea itu akur dengan kekalahan tersebut selain memuji aksi tangkas ditampilkan penjaga gol, David de Gea yang menafikan percubaan-percubaan berbahaya daripada jentera serangan Liverpool.
“Saya akui Liverpool berhak untuk menang kerana mereka bekerja keras sepanjang perlawanan. De Gea juga beraksi cemerlang apabila menafikan banyak percubaan berbahaya daripada pasukan tuan rumah,” ujarnya.
– Agensi










