KOTA BHARU 15 Dis. – Penghijrahan beramai-ramai Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian keluar dari UMNO tidak seharusnya dilihat sebagai bala bencana yang besar buat parti.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pengunduran golongan ‘veteran’ itu sebaliknya memberi manfaat kerana secara tidak langsung menjayakan proses peremajaan parti.
Hal ini kerana jelas beliau, ketika semakin ramai pemimpin veteran meninggalkan parti, semakin ramai pula anak muda yang dilihat berminat dengan UMNO.
“Tak salah untuk mengatakan bahawa bayangan bekas-bekas pemimpin UMNO inilah yang menghantui parti sehingga nasib malang terbawa-bawa sampai ke Pilihan Raya Umum yang lalu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Nik Saiful Adli, peremajaan parti hanyalah retorik politik semata-mata suatu ketika dulu namun hari ini, peluang terbuka luas kepada orang muda dalam UMNO.
Tambah beliau, di sebalik segala pembekuan aset, Pemuda UMNO hari ini masih mampu bergerak, malah kekuatan ukhwah tanpa matlamat kekayaan harta dilihat berjaya mengukuhkan lagi kedudukan sayap parti itu.
“Jika melihat kebersediaan Pemuda UMNO sebegini, Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewajarnya memikirkan satu kaedah transisi parti kepada kepimpinan muda seterusnya menjayakan peremajaan parti.
“Berundur orang lama bukanlah bererti mereka tidak baik. Ia adalah pengorbanan yang memerlukan pemimpin berjiwa besar, kecuali UMNO benar-benar mahu ditolak oleh rakyat,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, rata-rata bekas pemimpin UMNO yang berhijrah hari ini menang dalam pilihan raya kerana parti dan dakwaan kononnya itu bukti rakyat menolak UMNO merupakan pandangan sesat yang tidak perlu dipercayai.
“Mereka keluar parti dengan alasan-alasan tersendiri yang lebih bersifat peribadi, meskipun sebaliknya yang dikhabarkan kepada umum.
“Alasan lompat parti untuk kebaikan rakyat di kawasan adalah teks ucapan yang sudah lapuk. Kalau ucapan itu difotostat, barangkali ‘atlet-atlet lompat tinggi’ semalam sudah teraba-raba membacanya kerana sudah pudar cetakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










