KEMAMAN – Pergerakan Pemuda UMNO menganggap pemergian beramai-beramai Ahli Parlimen keluar dari parti itu mempunyai hikmah tersendiri sebagai proses dan pemutihan semulajadi buat parti tersebut.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau percaya senario itu membolehkan hanya yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan tanpa terlalu memikirkan survival diri akan kekal di dalam parti berkenaan.
Beliau berkata, UMNO sedang melalui proses penyaringan semulajadi dengan mereka yang selama ini menjadikan parti sebagai wadah untuk meraih kepentingan diri dan keuntungan duniawi akan memisahkan diri.
“Ini juga boleh dianggap sebagai proses peremajaan semulajadi buat UMNO. Buktinya lima ketua pemuda kini memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian di Sabah.
“Kita tidak tandus bakat-bakat baharu dan Pemuda UMNO sedia mengambil alih tempat kepimpinan yang dikosongkan senior (pemimpin kanan) yang sudah berasakan tidak tahan tekanan menjadi pembangkang,” katanya ketika merasmikan program ‘UMNO Kembali Bangkit’ bersama hampir 200 ahli UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini. – K! ONLINE










