PUTRAJAYA – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat Menteri Perpaduan, P. Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dan exco kerajaan negeri Selangor, V. Ganabatirau sebentar tadi.
Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya di Pejabat Perdana Menteri di sini.
Menurut Aminuddin, memorandum tersebut merupakan tindakan oleh Ummah susulan daripada kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang dipukul sekumpulan perusuh dalam satu kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.
Jelasnya, menerusi memorandum itu, beliau berharap Mahathir dapat mendengar rintihan rakyat yang mahukan ketiga-tiga pemimpin itu dilucutkan jawatan dengan segera.
“Kita juga memohon agar Perdana Menteri tidak membiarkan Waytha Moorthy melibatkan Peguam Negara terutamanya ketika keputusan mahkamah dalam kes tersebut dan biarkan peraturan undang-undang dijalankan dengan sebaiknya.
“Setakat ini, Abu Bakar memberi respon yang baik terhadap memorandum itu dan beliau akan serahkan kepada Perdana Menteri dengan segera,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Jabatan Perdana Menteri di sini sebentar tadi.
Terdahulu, Aminuddin bersama kira-kira 500 penyokong mengadakan demonstrasi aman Himpunan Suara Ummah Justice4Adib di hadapan Majid Putra sebelum mereka berarak menyerahkan memorandum di JPM.
Dalam pada itu, jelas Aminuddin, melalui memorandum itu, beliau berharap Perdana Menteri dapat mendengar rintihan dan suara rakyat sekali gus dapat membela kematian Muhammad Adib.
Tambahnya, sekiranya kerajaan masih tidak memecat ketiga-tiga pemimpin itu, beliau memberi jaminan akan ada gelombang rakyat yang lebih besar untuk mendesak kerajaan selepas ini. – K! ONLINE










