KIEV 20 Dis. – Ukraine akan menggerakkan kapal perang kembali ke pelabuhan Laut Azov walaupun tiga kapal laut miliknya dirampas oleh Rusia di kawasan itu bulan lalu.
Insiden terbabit meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara sejak lebih 10,000 orang terbunuh susulan pemberontakan yang disokong Kremlin tercetus pada April 2014 selepas Rusia merampas Crimea daripada Ukraine.
Sejak Rusia merampas Crimea, Kremlin membina jambatan menghubungkan wilayah itu ke selatan Rusia, yang melintasi Selat Kerch.
Selat Kerch merupakan perairan kecil menghubungkan Laut Hitam ke Laut Azov, yang menjadi ‘tuan rumah’ kepada dua pelabuhan penting Ukraine.
Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mendesak anak kapal yang turut ditahan susulan rampasan kapal oleh Rusia itu dibebaskan dengan Presiden Donald Trump telah membatalkan perundingan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai tanda protes.
“Pencerobohan Rusia tidak akan menghentikan rancangan kami untuk mewujudkan kumpulan tentera laut di Laut Azov.
“Jika kita berhenti dan berundur, Rusia akan benar-benar melaksanakan tugasnya menawan Laut Azov,” kata Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara, Oleksandr Turchynov.
Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova berkata, tindakan Ukraine untuk menghantar kapal perang melalui Selat Kerch adalah satu bentuk provokasi. – REUTERS











