Menggunakan sepenuhnya platfrom media sosial untuk menyerlahkan nama mereka dalam dunia seni, ternyata percaturan kumpulan Sabyan Gambus tidak gagal.
Dengan lebih 162 juta tontonan di YouTube, Sabyan Gambus yang mengetengahkan lagu-lagu kerohanian dan Islamik, mendekati para pendengar mereka dengan alunan indah pelbagai lagu nasyid termasuk selawat.
Selain lagu Deen As Salam yang cukup popular ketika ini, barisan lagu Ya Habibal Qolbi, Rohman Ya Rohman dan Ya Asyiqol menjadi halwa telinga yang menyegarkan sehingga meraih ratusan juta tontonan.
Namun, di sebalik kejayaan yang mengagumkan ini, anggota-anggota Sabyan Gambus mengaku populariti kumpulan ini disebabkan kehadiran vokalisnya, Nissa Komarudin selepas setahun ditubuhkan pada 2015.
Menurut wakil kumpulan itu yang juga pemain keyboard, Ahmad Fairuz atau lebih mesra disapa Ayus, ramai yang meminati Nissa atas pelbagai alasan.
“Harus diakui Sabyan Gambus semakin diminati apabila Nissa menyertai kumpulan ini sebagai vokalis pada 2016. Ketika itu dia baru sahaja tamat sekolah menengah.
“Bukan sahaja peminat dalam kalangan masyarakat biasa, Nissa turut diminati golongan kenamaan dan berpangkat menteri seperti Presiden Indonesia sendiri iaitu Bapak Jokowi. Kami dapat tahu seorang menteri dari Pakistan juga cukup meminati Nissa.
“Pada awalnya saya pun tidak tahu apa keistimewaan yang ada pada Nissa sehingga menjadi popular secara mendadak.
“Kalau diukur dari segi suara, ramai lagi penyanyi Indonesia mempunyai suara yang bagus. Dari segi penampilan, ramai lagi penyanyi Indonesia yang mempunyai daya tarikan luar biasa.
“Namun, secara peribadi saya dapat rasakan ramai yang jatuh cinta dengan kesederhanaan Nissa.
“Secara tidak langsung populariti Nissa memberi kesan yang sangat positif kepada Sabyan Gambus,” kata Ayus mengakui pakej lengkap yang ada pada kumpulan itu membuatkan ramai memberi perhatian terhadap lagu-lagu mereka.
Bagaimanapun, tidak hanya Nissa yang membawa aroma wangi kepada Sabyan Gambus, keindahan melodi lagu-lagu kumpulan ini juga menjadi penyebab mereka disukai ramai.
“Selain kehadiran Nissa, lagu-lagu kerohanian seperti selawat yang kami bawakan bukan sahaja diminati oleh orang Islam, malah penganut agama lain juga menyukainya.
“Selain muzik dan lagu yang mendamaikan hati, kami juga menyusun strategi dengan melancarkan lagu baharu setiap bulan.
“Di Indonesia, strategi ini perlu dalam mengekalkan populariti dan inilah persaingan sihat yang wujud sesama artis Indonesia.
“Malah di sana, artis terlalu ramai. Kalau tidak muncul dengan lagu baharu setiap bulan, artis itu akan mudah dilupakan.
“Selain itu, kami juga memperkasakan platform digital untuk memudahkan peminat memiliki lagu kami. Apabila digabungkan faktor Nissa, lagu yang melekat di hati dan strategi yang hebat, maka nama Sabyan Gambus semakin dikenali ramai,” katanya lagi.
Selain Nissa dan Ayus, Sabyan Gambus turut dianggotai Sofwan Yusof (percussion), Kamal (darbuka), Tubagus Syaifulloh (biola) dan Anisa Rahman (penyanyi latar).
Terkejut popular mendadak
Sementara itu, Nissa atau nama sebenarnya, Khoirunnisa Komarudin, 19, masih tertanya-tanya bagaimana populaitinya boleh naik secara mendadak.
“Sejujurnya, saya sendiri pun tak sangka meraih populariti secepat ini. Sebetulnya saya baharu tamat sekolah ketika menyertai Sabyan Gambus.
“Namun, saya tidak meletakkan punca populariti Sabyan Gambus disebabkan diri saya. Banyak lagi faktor lain seperti lagu selawat sendiri memang diminati ramai.
“Saya bersyukur lagu-lagu kerohanian kami mendapat sambutan baik dan mampu bersaing dengan genre muzik lain yang ada di Indonesia.
“Seperti mana yang kita tahu, bukan senang mana-mana lagu selawat diminati atau menjadi tular,” jelas Nissa yang dipilih menjadi vokalis Sabyan Gambus disebabkan nyanyiannya versatil dalam pelbagai genre iaitu nasyid, pop dan dangdut.
Tambahnya, dia berasa bertuah menyertai Sabyan Gambus kerana lebih gemar menyanyi bersama band atau pemuzik secara langsung.
“Dahulunya Sabyan Gambus dikritik pada awal kemunculan. Ada yang cakap lagu yang disampaikan tidak bersesuaian dengan muzik. Tapi akhirnya lagu kami diterima ramai,” katanya.
Mahu Siti Nurhaliza
Gadis ini mengaku teringin berkolaborasi dengan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Rasanya mana-mana penyanyi pun mahu berduet dengan beliau. Selain memiliki suara yang sangat hebat, kerja keras beliau menjadi inspirasi buat saya.
“Begitu juga saya berharap tercapai impian mahu berduet dengan Siti Nurhaliza. Satu penghargaan buat penyanyi apabila dapat berduet dengan beliau,” tambah Nissa.
Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia 2019
Berita baik buat semua peminat Sabyan Gambus. Kumpulan ini akan mengadakan Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia 2019 pada 12 Januari tahun depan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.
Konsert yang memakan masa lebih tiga jam ini akan turut menampilkan artis-artis undangan dari Malaysia iaitu UNIC, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Bagi mereka yang berminat, tiket boleh dibeli melalui www.ticket2u.com.my/konsertsabyan 2019. Pembeli awal akan menerima diskaun sebanyak RM100 bagi setiap kategori dan berpeluang memenangi cabutan bertuah IPhone XS. Pembelian tiket awal sah sehingga 30 Disember 2018 juga layak menyertai cabutan bertuah tersebut.
Tiket awal berharga RM99 (MH3), RM149 (MH2), RM199 (MH1), RM259 (VIP), RM399 (Emas) dan RM899 (Platinum).
Selepas 30 Disember, harga asal tiket pula adalah RM229 (MH3), RM249 (MH2), RM299 (MH1), RM359 (VIP), RM499 (Emas) dan RM999 (Platinum).










