Trend menarik dalam jualan 11.11 - Utusan Malaysia

Trend menarik dalam jualan 11.11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA tahun ini, Kumpulan Alibaba menguasai hasil dagangan kasar (GMV) sebanyak RM125 bilion, menjadikannya antara hari jualan dalam talian paling berjaya setakat ini. GMV yang diperoleh tahun ini adalah melebihi RM20 bilion berbanding 2017 pada RM104 bilion, walaupun mencatat kadar pertumbuhan yang lebih rendah.

Trend ini sama di Asia Tenggara yang mana pemain e-dagang seperti Shopee mengumumkan mereka memperoleh 11 juta pesanan semasa jualan 11.11, iaitu 4.5 kali lebih banyak berbanding 2017. Kisah serupa boleh dilihat dalam kalangan pemain e-dagang Malaysia se­perti 11street yang menyaksikan angka GMV melonjak enam kali berbanding purata harian pada 2018 dan meningkat dua kali ganda pada tahun sebelumnya.

Keadaan ini juga dijangka berkembang pesat pada tahun-tahun datang. Satu kajian oleh Google dan Temasek yang dikeluarkan pada 19 November lalu menunjukkan e-dagang mencatatkan pertumbuhan pasaran yang drastik dan ekonomi digital di Asia Tenggara kini dijangka mencapai nilai RM427 bilion pada 2025.

Laporan itu juga menyatakan bahawa ekonomi internet di rantau ini akan bernilai RM327 bilion menjelang akhir tahun. Trend ini amat meyakinkan bahawa ekonomi internet Asia Tenggara kini menuju ke arah yang lebih matang. Sebahagian besar bahagian pasaran dalam ekonomi internet akan diterajui oleh sektor e-dagang dan dijangka bernilai RM427 bilion.

Bagaimanapun, kematangan sektor e-dagang dijangka menghadapi cabaran besar apabila ia mula berkembang pesat. Di sebalik kejayaan 11.11, terdapat perkara-perkara penting dan trend yang perlu difikirkan untuk mencapai masa depan e-dagang yang cerah. Dengan menganalisis trend dan perkara yang dihadapi oleh perniagaan dan pengguna di Asia Tenggara, di sini kami akan merungkai trend, pengajaran dan cabaran yang paling penting daripada jualan 11.11 yang perlu dipertimbangkan oleh pemain pasaran e-dagang untuk memajukan sektor digital.

Tumpukan pada pengguna telefon pintar

Jualan 11.11 tahun ini me­nyaksikan penekanan lebih besar pada promosi khusus melalui telefon pintar. Di Malaysia, empat daripada enam platform e-dagang yang paling banyak dilawati menawarkan promosi dalam aplikasinya, justeru, tawaran kilat khusus untuk pengguna mudah alih amat berkesan.

Antaranya ialah Shopee yang memperkenalkan permainan dalam aplikasi yang mana ia memerlukan pengguna menggunakan aplikasi pada masa tertentu. Ini sangat berjaya dalam memastikan pengguna teruja untuk membeli produk, kategori atau jenama tertentu.

Di Vietnam, lebih 82 peratus trafik dalam talian di platform e-dagang pada jualan 11.11 telah diakses daripada peranti mudah alih. Ini jauh lebih tinggi berbanding tahun lepas yang mana hanya 68 peratus trafik dalam talian datangnya daripada tele­fon pintar.

Fokus lain terhadap telefon bimbit adalah lebih daripada sekadar mengikuti trend yang popular. Satu kajian dalam State of E-Commerce di Asia Tenggara mendedahkan pengguna lebih fokus kepada penggunaan tele­fon bimbit berbanding peranti lain. Laporan itu menunjukkan 72 peratus daripada semua trafik dalam talian ke platform e-dagang adalah menggunakan peranti mudah alih.

Angka ini juga dijangka meningkat dengan jayanya memandangkan perkhidmatan te­le­fon pintar dan jalur lebar yang lebih laju menjadikan ia lebih mudah setiap tahun.

Laporan Google dan Temasek menyuarakan trend yang serupa, mereka menganggarkan terdapat lebih daripada 350 juta pengguna internet pada Jun 2018 di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Pada masa ini, 90 peratus pengguna mudah alih menggunakan akses internet terutama melalui telefon pintar mereka.

Semua data ini menyatakan mesej yang konsisten. Perniagaan harus memberi tumpuan besar kepada pengguna mudah alih agar dapat berkembang dalam e-dagang. Bagaimanapun, untuk masuk ke dalam m-dagang, berbeza pula ceri­tanya.

Jing Yin, Presiden di Kumpulan Lazada menyatakan bahawa: “Pengguna lebih cepat cenderung untuk merasa bosan apabila menggunakan aplikasi mudah alih daripada komputer. Oleh itu, dengan inovasi yang ada, kami perlu melakukan semua yang kami mampu untuk meningkatkan aktiviti aplikasi pengguna dan juga perlu mempunyai kandungan yang betul.”

Cabaran untuk platform e-dagang dalam mudah alih masa kini adalah penciptaan kandu­ngan menarik yang bukan hanya tentang gamification iaitu penambahan unsur-unsur permainan atau kegembiraan untuk menggalakkan penyertaan, tetapi berfungsi mengubahnya menjadi sumber keuntungan dengan cara yang paling berkesan untuk perniagaan.

Jeremy Chew adalah Pemasar Kandungan Kanan iPrice Group 
(https://iprice.my)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN