KUALA LUMPUR 13 Dis. – Pertemuan beberapa kepemimpinan UMNO yang diketuai Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagaimana telah tular di media sosial sejak semalam tiada kaitan dengan agenda politik.
Itulah yang dijelaskan oleh Mohamad ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini untuk mendapatkan pengesahan mengenai gambar tersebut, memandangkan pelbagai spekulasi telah bertiup kencang mengenai pertemuan itu.
Ada yang mengaitkannya dengan gerakan keluar kepemimpinan UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipengerusikan Dr. Mahathir, lebih-lebih lagi semalam kepemimpinan UMNO Sabah telah keluar beramai-ramai daripada parti itu.
Mohamad mengesahkan pertemuan itu berlaku pada Oktober lalu tetapi menafikan berkaitan dengan sebarang usaha untuk meninggalkan UMNO.
Beliau memberitahu, itu merupakan satu pertemuan biasa, tidak rasmi dan tidak mempunyai sebarang agenda politik, malah lebih kepada hubungan wakil-wakil pembangkang dengan Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun, ketika ditanya isi kandungan perbincangan dalam pertemuan tersebut, Mohamad mempersoalkan pula mengapa perlu tahu.
“Why should i tell you? (Kenapa perlu saya beritahu awak?).
“Itu hanya pertemuan biasa. Tidak ada apa-apa yang terselindung. Kami hanya berjumpa dengan Perdana Menteri. Itu salahkah?” kata beliau.
Sejak semalam, tular di media sosial beberapa keping gambar Mohamad serta beberapa kepemimpinan tertinggi UMNO bertemu dan makan bersama Dr. Mahathir.
Selain Mohamad, mereka yang kelihatan dalam gambar itu ialah Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Noh Omar; Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.











