Tetap pegang janji lepaskan jawatan - PM - Utusan Malaysia

Tetap pegang janji lepaskan jawatan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Dis. – Walaupun wujud usul agar beliau memanjangkan tempohnya mengetuai kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menegaskan, sesuatu janji itu perlu dipegang dan ditepati.

“Itu pendapat mereka tapi kena pegang kepada janji,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengulas usul perwakilan Kelantan dalam sesi penggulungan secara tertutup pada perhimpunan parti itu hari ini yang mencadangkan agar beliau memegang jawatan Perdana Menteri sehingga PRU-15.

Menurut Perdana Menteri, beliau mengakui tidak tahu sejauh mana ahli parti bersetuju dengan usul tersebut.

“Mana saya tahu ( bersetuju atau tidak), tetapi ramai yang berdiri,” katanya.

Terdahulu dalam sesi penggulungan secara tertutup, perwakilan Kelantan mengusulkan Dr. Mahathir memegang jawatan itu sehingga PRU-15.

Pada 22 Oktober lalu, Dr. Mahathir pada program Bicara Minda Sinar Harian menjelaskan, beliau sedia melepaskan jawatannya kepada Anwar sebagai mana dijanjikan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN