Teruja digelar ‘Ayu Cili Padi’ - Utusan Malaysia

Teruja digelar ‘Ayu Cili Padi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’ bermaksud rezeki perlu diusahakan dan bukannya datang sendiri. Itulah prinsip hidup penyanyi bersuara mantap, Ayu Damit yang kini mengusahakan ladang cili padi di Pangsun, Batu 22, Hulu Langat, Selangor.

Satu usaha yang bagus dan patut dicontohi oleh anak-anak muda lain. Dalam mencari rezeki, kita tidak boleh mengalah jika kurang menonjol dalam bidang yang digemari, sebaliknya sentiasa mencari peluang lain untuk terus maju dalam hidup.

Setelah dua tahun Ayu dan suaminya Syed Fauzi Syed Baharuddin, 31, mengusahakan ladang milik mereka berkeluasan 1.4 hektar ini, ternyata membuahkan hasil yang lumayan.

ladang cili padi Ayu Damit yang terletak di Hulu Langat, Selangor.
Ladang cili padi Ayu Damit yang terletak di Hulu Langat, Selangor. 

Secara purata mereka memperoleh hasil cili sebanyak 80 hingga 100 kilogram sehari. Ada kalanya boleh mencecah sebanyak 436 kilogram sehari. Semua hasil di bawah Ayu Damit Agro Farm ini dijual kepada para peniaga di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Harga di kebun bagi cili padi sekarang adalah sekitar RM12 sekilogram manakala di pasar antara RM16 dan RM17 sekilogram.

“Alhamdulillah, setelah dua tahun mengusahakan ladang cili padi, hasilnya sangat membanggakan kami sekeluarga. Terima kasih kepada suami yang berusaha gigih menyuburkan ladang ini.

“Boleh dikatakan 100 peratus peratus penanaman cili fetigrasi ini dilaksanakan oleh suami dari awal hingga akhir. Saya membantu mana yang patut terutama dalam menjenamakan bisnes kami sehingga nama ‘Ayu Cili Padi’ sudah sinonim dengan diri ini.

timun juga antara tanaman yang diusahakan oleh Ayu dan suaminya.
Timun juga antara tanaman yang diusahakan oleh Ayu dan suaminya. 

“Ke mana-mana pun saya pergi, orang akan panggil saya ‘Ayu Cili Padi’. Nama itu sudah melekat pada saya. Rasa kelakar pun ada tapi saya tidak kisah malah teruja dengan gelaran tersebut. Gelaran tersebut seolah-olah satu doa untuk saya terus maju dalam bisnes cili padi.

“Lagi pun ada yang cakap nama tersebut sesuai dengan saya yang bertubuh kecil molek tetapi gigih cari rezeki dengan bisnes dan menyanyi.

“Kata mereka, cili padi itu sinonim dengan saya sendiri,” kata pemilik nama sebenar Nor Ayu Damit, 29, yang turut mengusahakan tanaman terung dan timun di ladang sama.

Mengakui tidak mudah baginya untuk terjun ke dunia pertanian yang baharu dikenalinya, namun setiap ujian yang wujud ditempuh bersama suami dengan sabar dan yakin satu hari nanti ia akan membuahkan hasil lumayan.

“Menyanyi pun ada cabarannya. Undangan nyanyian ada pasang surutnya, malah adakala langsung tiada. Bila ada lagu baharu, kena turun promosi. Ia bukan satu kerja mudah.

“Begitu juga dengan bisnes ini, kami bermula dari bawah, Kami kutip ilmu mengenai penanaman. Ia sukar kerana kami bermula dengan kosong. Apa pun yang dilakukan, yakinlah Allah akan bantu dan sentiasalah berdoa,” kata Ayu.

Ayu mengaku dulu dia berasa risau apabila undangan nyanyian kurang kerana itulah sumber pendapatannya. Ditambah pula ketika itu suaminya mengusahakan tanaman pokok kelapa yang memakan masa lama untuk menghasilkan keuntungan.

Kini, Ayu bersyukur bisnes cili padi menjadi pemangkin utama kepada dirinya dan keluarga untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi negara yang kurang stabil.

“Kalau dulu saya cukup risau apabila lagu kurang mendapat sambutan atau tiada undangan nyanyian. Tertekan juga bila memikirkannya.

“Sekarang, semenjak mengusahakan cili padi, saya rasa lebih selamat dan selesa dalam mengatur kewangan keluarga. Mungkin hasil undangan nyanyian tidaklah ‘selebat’ bisnes, tetapi sekurang-kurangnya jaminan kewangan tidak pernah putus dan berterusan. Ini penting kerana saya dan suami perlu mempunyai simpanan untuk masa depan anak-anak,” katanya.

 

Tidak hanya menawarkan cili mentah, kini Ayu mengembangkan bisnes tersebut dengan menghasilkan cili jeruk pula yang diberi nama Cili Jeruk Homemade by YUGI. YUGI adalah singkatan nama Ayu dan suaminya.

“Cili jeruk memang ada pasaran sendiri. Jadi saya dan suami mengeluarkan cili padi jeruk kerana ia penambah selera dalam apa jua hidangan makanan.

a
Ayu Damit

“Bagi mereka yang mahu bercuti, masih boleh berbekalkan cili jeruk ini kerana mudah dibawa dan tidak mudah pecah atau rosak. Ramai pelanggan saya beli jeruk ini untuk bekalan mereka ke luar negara,” tambah Ayu yang popular dengan lagu Hanya di Mercu.

Menyentuh tentang kehidupannya bersama suami, mereka kini bahagia bersama tiga orang cahaya mata iaitu Nasrul Haikal, 8, Sharifah Alya Aryana, 5, dan Syed Aqif Najmi, 3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×