Terima kasih Kosmo!, wang telah mencukupi bantu Nurul Firzanah - Utusan Malaysia

Terima kasih Kosmo!, wang telah mencukupi bantu Nurul Firzanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM – Keluarga kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan yang menghidap jantung berlubang terharu dengan keperihatinan orang ramai memberikan sumbangan kepada Nurul Firzanah Mohammad Feros Khan.

Ibu bayi tersebut, Nurul Wahidah Abdul Samad berkata, dia seakan tidak percaya melihat jumlah wang sumbangan terkumpul dalam akaunnya dalam tempoh tiga hari selepas kisah anak bongsunya itu mendapat liputan akhbar Kosmo!.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua walaupun mereka tidak pernah melihat Nurul Firzanah sebelum ini tetapi ikhlas menghulurkan bantuan.

“Jumlah sumbangan yang diperolehi telah mencukupi dan berterima kasih kepada Kosmo! yang membantu,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online hari ini.

Terdahulu, akhbar Kosmo! pada 30 November menyiarkan kisah Nurul Firzanah yang menderita menghidap jantung berlubang jenis Ventricular Septal Defect (VSD).

Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat tiga lubang pada bahagian antara rongga jantung kanan dan kirinya yang memerlukannya menjalani pembedahan segera.

Nurul Wahidah memberitahu, pembedahan terhadap Nurul Firzanah yang sepatutnya dijalankan di Hospital Serdang pada 28 November lalu terpaksa ditangguhkan kerana mengalami selsema dan demam.

Ujarnya, pihak hospital akan menetapkan tarikh baharu pembedahan selepas Nurul Firzanah sihat sepenuhnya.

“Anak saya itu akan bertemu doktor pakar pada Februari depan bagi menjalani pemeriksaan rutin kesihatan.

“Doakan bayi kami sihat sepenuhnya dan selamat menjalani pembedahan itu nanti serta dia sihat dan membesar seperti bayi normal yang lain,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN