KUALA TERENGGANU 15 Dis. – Tiga pusat pemindahan banjir di Kemaman ditutup pagi ini menjadikan hanya satu sahaja yang masih beroperasi di balairaya Padang Kemunting.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt. Kol (PA) Che Adam Abdul Rahman berkata, seramai 15 orang daripada tiga keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan itu setakat pukul 9.30 pagi ini.
“Bagaimanapun, melihat kepada situasi semasa bencana sekarang yang hujan di sebahagian besar daerah di Terengganu berkemungkinan akan berlaku perpindahan semula dan pusat pemindahan dibuka kembali terutama jika berlaku kenaikan air di kawasan berisiko.
“Kita akan terus kemaskini dari semasa ke semasa dan lihat perkembangan pada tengah hari dan petang ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam satu kenyataam berkata, hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat sejak pukul 3 pagi tadi di kebanyakan kawasan di daerah Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu menyebabkan beberapa aras sungai mula meningkat.
Katanya, Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Setiu di Kampung Besut mula melepasi paras waspada awal pagi ini.
“Manakala enam sungai lain yang masih melepasi paras amaran/waspada ialah di Sungai Besut di Kampung Keruak, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping, Sungai Kemaman di Paya Paman dan Sungai Setiu di Kampung Besut.
“Kebanyakan sungai-sungai di daerah Dungun dan Kemaman menunjukan trend menurun dan trend menaik berlaku di daerah Besut, Setiu, dan Hulu Terengganu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










