Tauke getah kerugian RM6.7 juta ditipu sindiket Macau Scam - Utusan Malaysia

Tauke getah kerugian RM6.7 juta ditipu sindiket Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang tauke getah dari Kuala Krai dekat sini kerugian RM6.7 juta selepas ditipu satu sindiket Macau Scam selepas melakukan lebih 10 transaksi melibatkan wang RM80,000 hingga RM200,000 dalam tempoh sebulan.

Ahli perniagaan berusia 70-an tersebut terpedaya selepas menerima satu panggilan telefon daripada anggota sindiket berkenaan pada penghujung Oktober lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, melalui panggilan telefon tersebut mangsa dimaklumkan bahawa dia gagal menghadirkan diri pada satu kes di mahkamah. 

“Mangsa menafikan dakwaan itu, namun pemanggil terbabit terus mengugut dan kononnya menyambungkan panggilan kepada seorang anggota polis yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di selatan tanah air. 

“Ahli perniagaan tersebut yang takut kemudian diperdaya sindiket itu sehingga dia melakukan lebih 10 transaksi antara RM80,000 hingga RM200,000 pada satu-satu masa transaksi itu,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) antara pemangku Deputi Superintendan Ahmad Arifin dan penyandang yang baharu iaitu Superintendan Ahmad Azizul Mohamed.

Ahmad Azizul yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua JSJK Kelantan menggantikan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud yang bersara wajib pada usia 60 tahun. 

Pada majlis sama, 24 anggota disempurnakan pemakaian pangkat terdiri daripada tiga pegawai kanan polis, empat Sarjan Mejar dan 17 Sarjan yang menerima kenaikkan pangkat di seluruh kontinjen Kelantan. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN