KUALA KEDAH 20 Dis. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) khususnya di negeri Selangor mengharapkan 2019 yang akan membuka tirai kira-kira 11 hari lagi akan membawa permulaan yang baik selepas tujuh anggotanya terkorban dalam keadaan menyayat hati tahun ini.
Selain Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, enam lagi anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pelabuhan Klang serta Shah Alam turut menemui ajal dalam keadaan tragis.
Timbalan Pengarah JBPM Selangor, Hassan As’ari Omar berkata, biarpun setiap peristiwa yang terjadi adalah ketentuan Allah, namun pasukan penyelamat itu mengharapkan ada lembaran baru buat mereka kelak bagi meneruskan jiwa murni terhadap negara.
“Harapan kami seluruh warga bomba pada tahun 2019 adalah mudah-mudahan akan memberi sinaran baru atau lembaran baru, namun apa jua yang berlaku satu ketentuan Allah dan kita kena terima dengan hati terbuka.
“Sejak peristiwa sedih menimpa Allahyarham Muhammad Adib, saya melihat sokongan masyarakat begitu kuat dan ini merupakan antara kekuatan yang diberi orang ramai kepada agensi penyelamat seperti bomba yang mahu memastikan keselamatan masyarakat. Terima kasih kepada semua yang menyokong,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah keluarga Allahyarham Muhammad Adib di sini hari ini.
Pada 3 Oktober lalu, operasi menyelamat seorang remaja yang dilaporkan tergelincir ketika memancing di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Cyberjaya bertukar tragedi apabila enam penyelam bomba yang terbabit dalam pencarian itu lemas akibat terbelit tali di dasar.
Anggota bomba yang terkorban ketika bertugas itu terdiri daripada Mohd. Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Tragedi sedih itu berterusan pada 27 November lalu apabila Allahyarham Muhammad Adib bersama pasukannya yang ditugaskan memadam kebakaran kereta di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, cedera parah dipukul sekumpulan perusuh sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.41 malam, Isnin lalu setelah 21 hari bertarung nyawa. – UTUSAN ONLINE










