KUALA LUMPUR 3 Dis. – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dilaporkan gagal merekodkan rosot nilai sebanyak RM227.81 juta terhadap pelaburan dalam tiga syarikat subsidiari serta tiga syarikat bersekutu khususnya syarikat TH Heavy Engineering Berhad dengan jumlah pelaburan sebanyak RM164.58 juta.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, penyata kewangan syarikat TH Heavy Engineering Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu menerima penafian pendapat oleh juruaudit luar.
Tambah laporan itu, kaedah penetapan polisi rosot nilai aset kewangan Tabung Haji tidak konsisten kerana berlaku perubahan polisi setiap tahun khususnya dalam tahun berakhir 31 Disember lepas yang memperlihatkan polisi itu diubah sebanyak dua kali.
Jumaat lalu, Tabung Haji membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan sejumlah RM3.8 bilion.
Antara pihak yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah.
Sementara itu, Felda dan Kumpulan Felda turut dilaporkan mengalami kerugian bersih masing-masing berjumlah RM5.73 bilion dan RM4.85 bilion pada 2017 seperti yang dinyatakan penyata pendapatan.
Menurut laporan audit tersebut, kedudukan liabiliti semasa bersih Felda berjumlah RM643.93 juta dengan aset semasa bersih berjumlah RM343.17 juta pada 2017.
Bagi Kumpulan pula, kedudukan liabiliti semasa bersihnya berjumlah RM27.03 juta dengan aset semasa bersih berjumlah RM1.234 bilion.










