Suspek ancaman bom palsu Hospital Tampin dihadapkan ke mahkamah - Utusan Malaysia

Suspek ancaman bom palsu Hospital Tampin dihadapkan ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN – Seorang lelaki berusia 34 tahun yang ditahan polis kerana disyaki membuat panggilan ancaman bom palsu ke atas Hospital Tampin pada 14 Disember lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini.

Tertuduh, Mohd. Yusnaidi Mohd. Yunus yang memakai t-shirt merah dan berseluar jeans dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin oleh anggota polis dengan tangan bergari kira-kira pukul 9 pagi ini.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan keatasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Tan Chai Wei kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Tertuduh yang dipercayai memiliki rekod di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban gagal memberi jawapan tepat sama ada mengaku salah atas pertuduhan dikenakan keatasnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan kemudian memohon mahkamah mengeluarkan perintah bagi mengetahui status kesihatan terhadap pemegang kad orang kurang upaya (OKU) lembam pembelajaran itu.

Majistret memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai Johor Bahru, Johor bagi menjalani pemeriksaan mental mengikut 
Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Chai Wei menetapkan tarikh untuk sebutan laporan perubatan suspek pada 24 Januari tahun depan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Yusnaidi pada 14 Disember 2018, kira-kira pukul 5.50 pagi di Hospital Tampin telah menakutkan secara sembunyi nama dengan membuat panggilan terhadap Nor Zuzaini Jamaluddin, 38.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan suasana di Hospital Tampin menjadi gempar apabila seorang operator khidmat pelanggannya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa ada bom di premis perubatan itu.

Ancaman itu menyebabkan sebahagian kakitangan dan pesakit terpaksa dikeluarkan dari hospital berkenaan bagi menjamin keselamatan mereka.  

Unit Pengesanan Bom (UPB) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri serta Unit Kimia Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban 2 yang melakukan pemeriksaan di hospital itu namun tidak menemui sebarang objek menyerupai bom.

Berikutan itu polis bertindak menahan suspek di sebuah rumah di Taman Datuk Maharaja Lela, Chembong di sini pukul 10.45 pagi pada hari  sama kerana disyaki membuat panggilan ancaman bom palsu keatas hospital itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×