KUALA TERENGGANU 9 Dis. – Setelah lebih 30 tahun menghuni di Wisma Persekutuan di sini,
kesemua kakitangan termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
cawangan Terengganu akan mula berpindah ke pejabat baharu, dijangka April tahun depan.

Pembinaan Kompleks SPRM Negeri Terengganu yang baharu itu buat masa ini sudah 90 peratus
siap dan dijangka mula beroperasi awal April nanti.
Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan berkata, kompleks yang terletak di kawasan
seluas 5.6 hektar di Kampung Kubang Parit di sini dan turut dilengkapi lokap itu menelan belanja
kira-kira RM60 juta.
“Pada masa ini, pembinaan kompleks ini sudah mencapai 90 peratus siap dan kita berharap
segalanya berjalan lancar dan 59 kakitangan termasuk pegawai dijangka mula memasuki premis
baharu ini pada awal April tahun depan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan program Walkabout
Perdana sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Y-Centre,
UTC Kuala Terengganu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










