SPRM belum ke pejabat Mohamaddin - Utusan Malaysia

SPRM belum ke pejabat Mohamaddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi untuk menyiasat berhubung dakwaan memberi kontrak secara terus dengan adanya unsur ‘campur tangan’ ahli keluarga.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Silam berkata, tidak ada sebab untuk beliau menghentikan siasatan tersebut jika tidak bersalah.

“Memanglah, memanglah bebas. Kenapa anda hendak menghentikan mereka jika anda tidak bersalah.

“Tak tahulah, yang masuk ke bilik pejabat saya belum lagi. Lain-lain bilik pejabat saya tak tahulah,” katanya ketika ditanya sama ada SPRM telah menjalankan siasatan terhadap kementeriannya di Putrajaya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan SPRM sedang menyiasat dakwaan satu kementerian memberi kontrak secara terus dengan adanya unsur ‘campur tangan’ anak kepada menteri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin yang mendakwa kementerian tersebut dimonopoli oleh kakitangan dan pegawai yang berasal dari Sabah.

“Tidak, saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu. Tidak ada perkara sedemikian.

“Saya tidak mahu menjawab sesuatu yang saya tidak tahu,” katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan Dondang Sayang berjaya disenaraikan di bawah Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang memberi pengiktirafan bertaraf dunia terhadap khazanah warisan kebudayaan tidak ketara.

“Pengiktirafan ini amat bermakna kerana kali terakhir Malaysia memperolehi penghargaan seperti ini pada 2005 iaitu Mak Yong,” katanya.

Mohamaddin turut mengumumkan Ketua Pengarah Tourism Malaysia baharu, Datuk Musa Yusuf yang menggantikan Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab berkuatkuasa, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN