PUTRAJAYA 15 Dis. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya telah menerima perakuan mahkamah yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi Parlimen Cameron Highlands pada 9 Mei lalu terbatal.
“Perakuan itu mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Sehingga tamat tempoh rayuan semalam, tiada sebarang rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan atau dimaklumkan kepada SPR.
“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang ditentukan oleh SPR iaitu mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Azhar, pemakluman secara rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Isnin ini dan tarikh mesyuarat khas bagi pelaksanaan PRK itu akan dimaklumkan nanti oleh SPR.- UTUSAN ONLINE










