KUALA LUMPUR 17 Dis. – Seorang guru kaunseling dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daesh, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian terhadap Razis Awang, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan. Hukuman penjara tersebut diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 30 Mac dua tahun lalu.
Hakim Azman ketika membaca penghakimannya berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadap guru itu adalah bertujuan untuk membanteras anasir keganasan yang menular berpunca pengaruh dari dalam dan luar negara.
“Tindakan itu jika tidak disekat akan membawa kepada unsur keganasan yang menjurus kepada peperangan serta serangan berbahaya bukan saja kepada satu pihak tetapi kepada rakyat,” katanya. Seramai 11 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula Mac lalu manakala pembelaan mengemukakan dua saksi untuk memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Razis didakwa telah memberi sokongan kepada pengganas Daesh dengan cara berbaiah kepada kumpulan itu dalam kumpulan aplikasi telegram ‘Gagak Hitam’ di Lorong Senangin 2/3, Taman Senangin, Kulim, Kedah, kira-kira pukul 8.11 pagi, 30 Mac 2016.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan harta yang telah atau akan digunakan boleh dirampas.
Lelaki itu juga didakwa atas pertuduhan memiliki sembilan keping gambar berkaitan kumpulan pengganas itu yang disimpan di dalam telefon bimbit dan komputer ribanya di tempat sama kira-kira pukul 7.20 malam, 28 September 2016.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item terbabit.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, Syahredzan Johan memohon agar mahkamah mengambil kira bahawa anak guamnya pernah berkhidmat sebagai guru dan tidak pernah menyebar fahaman berkaitan keganasan sebaliknya hanya memberi sokongan dengan cara berbaiah melalui aplikasi Telegram serta tidak menunjukkan sokongan secara terbuka.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Munirah Shamsudin @ Baharum membantah rayuan itu dan memohon mahkamah melihat faktor kepentingan awam di samping memberi pengajaran kepada orang awam dan faktor keselamatan negara sebagai asas utama dalam menjatuhkan hukuman.











