KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal kembali ke pentas Royal Albert Hall, London sempena konsert jelajah beliau, Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour selepas kali pertama mengadakan persembahan solo di situ 14 tahun yang lalu.
Mengikut perancangan, konsert tersebut bakal diadakan pada 22 April tahun depan.
Sebelum kembali menakluki London, Siti akan ke tiga lokasi iaitu Jakarta, Indonesia (21 Februari), Singapore Expo, Singapura (2 Mac) dan Arena Axiata, Kuala Lumpur (16 Mac).
Katanya, beliau dan penganjur konsert berkenaan, Shiraz Projects terbuka menerima sebarang tajaan daripada pelbagai pihak.
“Saya akui agak bergelut untuk konsert ini kerana mahu mengembalikan energi menyanyikan lagu bernada tinggi, penurunan berat badan dan stamina sebelum melahirkan Siti Aafiyah beberapa bulan lalu.
“Walaupun satu tanggungjawab besar tetapi ia menjadi impian saya untuk mengadakan sebuah konsert yang besar. Jadi saya mahu ia dijadikan sebuah persembahan yang terbaik selepas membuat kemunculan semula dalam industri,” ujar beliau ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Hotel Shangri-La, di sini sebentar tadi.
Tambah pelantun lagu Anta Permana itu lagi, menerusi jelajah itu, beliau menjanjikan sebuah konsert yang berbeza dari segi susunan muzik.
“Setiap kali membuat konsert besar, saya perlu memberi komitmen 100 peratus sebab mahu peminat yang datang nanti akan pulang dengan puas dan senang hati.
“Jadi sekarang fokus saya adalah dari segi latihan vokal dan stamina. Saya sudah pun memulakan persiapan dengan melakukan senaman selain menjaga pemakanan,” katanya yang sudah melaksanakan lebih 50 buah konsert sepanjang lebih 20 tahun kariernya dalam industri.
Lebih menarik, ketiga-tiga konsert Siti di Indonesia, Singapura dan Malaysia akan menampilkan kemunculan istimewa penyanyi negara seberang Indonesia, Tulus.
“Saya juga ada terfikir perancangan untuk membuat kolaborasi dengan Tulus dan jika sempat mungkin kami akan merakamkan lagu duet sebelum konsert berlangsung. Jika tidak, kami akan pilih lagu lain untuk dinyanyikan nanti,” katanya. – K! ONLINE










