Siasatan kes seleweng dana MB hampir selesai - Utusan Malaysia

Siasatan kes seleweng dana MB hampir selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kini di peringkat akhir siasatan bagi kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Zaini Japar yang sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana khas Menteri Besar berjumlah RM30,000 pada Februari tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes tersebut sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

“Kes ini berada di akhir siasatan dan kita akan kemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat pendakwaan di mahkamah atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018 peringkat negeri Kedah di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! pada 15 Ogos lalu melaporkan bekas ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana khas Menteri Besar berjumlah RM30,000 pada Februari 2017.

Difahamkan, bekas ADUN terbabit didakwa memohon peruntukan daripada dana khas Menteri Besar pada Februari 2017 atas alasan menganjurkan sebuah program di negeri itu.

Bagaimanapun, selepas peruntukan tersebut diluluskan, ia tidak digunakan untuk sebarang program dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN