Sertai himpunan merugikan - Utusan Malaysia

Sertai himpunan merugikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Langkah penganjur meneruskan himpunan aman bagi meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini sebenarnya lebih merugikan kerana perlu mengeluarkan belanja sendiri.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk perbelanjaan dan pembiayaan sekolah anak-anak pada awal tahun depan.

“Kalau mereka datang, sudah tentu terpaksa berbelanja dengan duit poket sedangkan dalam suasana hari ini masyarakat harus menumpukan perbelanjaan untuk pembiayaan persekolahan anak-anak pada sesi akan datang. 

“Saya fikir itu merupakan perkara yang harus difikirkan secara munasabah oleh orang ramai yang hendak hadir ke himpunan itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. 

Pada 26 November lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, himpunan tersebut tidak boleh dibatalkan kerana segala persiapan telah dibuat termasuk tempahan tempat penginapan dan pengangkutan.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, himpunan tersebut sepatutnya tidak perlu diadakan kerana kerajaan menerusi kenyataan akhbar daripada pejabat Perdana Menteri tegas menyatakan tidak akan merativikasi ICERD.

Walau bagaimanapun, katanya, atas dasar keterbukaan dan kebebasan bersuara maka kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi kelulusan bagi menganjurkannya.

“Kalau mereka nak salahkan seorang dua menteri sebab membuat kenyataan, sedangkan keputusan kerajaan bertegas untuk tidak ratifikasikannya. Kalau seorang dua menteri jadi masalah buat mereka, takkan nak buat perhimpunan. Patutnya jumpa menteri tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN