KUANTAN 15 Dis. – UMNO mesti segera mencari formula dan jalan keluar daripada kemelut yang dihadapinya ketika ini berikutan tindakan sekumpulan pemimpin yang keluar daripada parti itu dan desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara utama pada masa ini adalah mencari formula berkenaan yang berkait rapat dengan penyelesaian masa depan parti tersebut.
“Saya percaya semua pihak termasuk Presiden parti pun sedang memikirkan apa jalan terbaik.
“Kita belum dapat rumusan secara konsesus tetapi kita mesti dalam masa terdekat ini mencari satu formula dan jalan keluar daripada kemelut yang sangat serius ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersarapan pagi bersama warga nelayan di Jeti Kampung Sungai Miang di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemimpin UMNO yang keluar parti dalam minggu ini.
Rabu lalu, lima ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Senator UMNO Sabah mengisytiharkan keluar parti itu.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam lagi ahli Parlimen UMNO keluar daripada parti berkenaan iaitu Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr. Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Mohd. Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Berikutan itu, pelbagai gesaan disuarakan termasuk UMNO perlu mengadakan perhimpunan agung luar biasa dan mengadakan pemilihan parti untuk memilih kepemimpinan baharu selain desakan supaya Ahmad Zahid meletak jawatan.
Menurut Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, ketika ini pelbagai pendapat disuarakan berhubung situasi yang melanda UMNO tetapi perkara paling penting adalah mencari jalan menyelamatkan UMNO dan boleh menentukan bahawa ada masa depan parti yang terlalu banyak jasanya itu kepada negara ini.
“Itu yang utama. Apa formula, apa caranya, bagi sedikit masa lah untuk semua pihak memikirkan apa jalan yang sebaik-sebaiknya.
“Matlamatnya UMNO tidak boleh terkubur,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










