LONDON – Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Afrika buat kali kedua berturut-turut selepas mempamerkan prestasi terbaik sewaktu bersama kelab serta pasukan kebangsaan Mesir.
Menurut Salah, penghormatan yang diberikan itu semakin meningkatkan motivasi dan semangatnya untuk terus bekerja keras pada masa akan datang.
“Saya berasa gembira kerana memenanginya buat kali kedua berturut-turut. Sudah tentu saya akan berusaha dengan lebih baik untuk merangkul anugerah ini buat kali ketiga pada tahun depan.
“Banyak kenangan manis pada musim ini seperti membantu pasukan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara serta membantu Liverpool berada di kedudukan pertama liga. Saya yakin Liverpool berada dalam landasan yang tepat untuk meraih trofi,” katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu mencetuskan fenomena baharu pada kancah Liga Perdana England musim lalu apabila meledakkan 44 gol dalam 52 perlawanan untuk dinobatkan sebagai pemenang kasut emas.
Dia turut menjadi nadi penting kepada skuad The Reds dalam melayakkan diri ke aksi final Liga Juara-Juara musim lalu biarpun tewas 1-3 kepada Real Madrid. – Agensi










