Sah PRK di Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Sah PRK di Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengisi kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam tempoh 60 hari mulai semalam.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun (gambar) berkata, SPR telah menerima Perakuan Mahkamah di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah terbatal.

Beliau berkata sehingga tamat tempoh rayuan semalam, sepertimana ditetapkan Sek­syen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya, tiada sebarang ra­yuan difailkan di Mahkamah Persekutuan atau dimaklumkan kepada SPR.

“Selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan ditentukan SPR mulai hari ini (semalam).

“Pemakluman secara rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rak­yat pada Isnin nanti (ini),” katanya dalam satu kenya­taan semalam.

Azhar Azizan berkata, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan sai­ng­­an lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain termasuk calon DAP, M. Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas – 3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 November lepas, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemena­ngan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Ca­meron Highlands pada PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi kerusi Parlimen itu.
Dalam penghakimannya, Azizah berkata beliau berpanda­ngan pempetisyen, Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN